IPOH | Polis merampas dadah jenis Methamphetamine dan ketamin yang bernilai lebih RM23.7 dalam operasi di Gerik, Perak, Sabtu lalu.
Dalam operasi itu polis turut menahan dua lelaki dan merampas wang tunai yang RM19,672.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan Pegawai Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dengan kerjasama JSJN Bukit Aman.
Katanya, polis menahan dua lelaki itu yang memandu sebuah lori trak tunda yang membawa sebuah kereta yang ditunda di Gerik.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditunda telah menjumpai 448 kilogram dadah jenis Methamphetamine dan ketamin yang bernilai RM23,728,850. Turut dirampas wang tunai bernilai RM19,672.00.
“Kedua-duanya direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mereka didapati negatif sebarang dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.