PUTRAJAYA | Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan dirasionalisasikan menerusi penstrukturan semula dan diletakkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 30 Jun hingga 30 September ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan dilaksanakan.
Katanya, penstrukturan semula itu turut merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia, pengurusan kewangan dan perolehan.
“Pelan Rasionalisasi AKSEM ini akan memberi kesan positif kepada pengurusan keselamatan sempadan negara apabila kekuatan sedia ada AKSEM digabungkan bersama PDRM bagi memperkasakan fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan darat negara.
“Rasionalisasi AKSEM ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada tanggungjawab pengawalan sempadan negara ke seluruh Malaysia kerana sebelum ini dengan kekuatan sedia ada AKSEM hanya mampu menumpukan pengawalan sempadan darat negara di bahagian utara dan timur Semenanjung Malaysia sahaja.
“Fungsi pengawalan keselamatan di sempadan negara yang lain dilaksanakan oleh PDRM melalui PGA termasuklah ke kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hamzah berkata, dengan pelaksanaan Pelan Rasionalisasi AKSEM ini, Kementerian yakin akan memantapkan lagi kawalan sempadan darat negara secara keseluruhannya melalui sinergi baharu kawalan sempadan yang diselia oleh PDRM.
Katanya, pihak kerajaan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua Pegawai dan Anggota AKSEM yang selama ini memainkan peranan yang besar di dalam memastikan keselamatan sempadan negara berada di dalam tahap yang optima.
“AKSEM ditubuhkan pada 29 Disember 2017 dengan pewartaan Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 [Akta 799] melalui gabungan keanggotaan daripada tiga agensi induk iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Bermula 1 Januari 2018, AKSEM berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah Agensi Kerajaan Persekutuan dengan kekuatan 900 perjawatan dan beroperasi di empat buah negeri iaitu di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
“Melalui Akta 799, fungsi utama AKSEM adalah mengawal keselamatan sempadan darat Malaysia daripada apa-apa kegiatan penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, sepanjang penubuhan AKSEM, kawalan sempadan darat negara berjaya dipertingkatkan bahkan diperkukuhkan.
Katanya, AKSEM telah berjaya menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah seperti penyeludupan rokok, dadah, ketum, kenderaan klon, haiwan dan juga mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti pemerdagangan manusia yang semakin berluasa.
“Pada 2016 sehingga 2019, AKSEM telah berjaya membuat rampasan barangan bernilai RM145.52 juta yang melibatkan 2400 kes. Penyeludupan barangan masuk ke dalam negara yang tinggi adalah kerana wujudnya permintaan daripada rakyat Malaysia terhadap barangan tersebut.
“Melalui operasi penguatkuasaan terhadap PATI, sebanyak 4,105 orang PATI berjaya ditangkap dari tahun 2016 hingga 2019 di Perlis, Perak, Kelantan dan kedah.
“Tangkapan ini dilaksanakan oleh AKSEM melalui operasi seperti sekatan jalan raya, rondaan, risikan, operasi khas dan pemeriksaan mengejut yang bukan hanya tertumpu di pintu keluar/masuk sahaja,” katanya.
Katanya, antara sebab PATI menyeludup masuk ke dalam negara adalah kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hutan yang luas dan keadaan muka bumi yang berbeza menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa menjadi terhad.