KUALA LUMPUR | Syarikat penyedia telekomunimasi utama iaitu Celcom, Maxis, Digi, Telekom Malaysia dan U Mobile bersetuju melanjutkan perkhidmatan pemberian satu gigabit data harian secara percuma.
Ia bermula pada 1 Ogos sehingga 31 Disember tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kemudahan ini dianggarkan bernilai RM500 juta dan akan memberi manfaat kepada 44 juta pelanggan berdaftar.
Katanya, melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 800,000 usahawan menerimaguna pendigitalan dan terlibat aktif dalam ekonomi digital.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui kempen ‘Shop Malaysia Online’ dan Go E-Commerce Onboarding’ bersama-sama pemain industri dan platform e-Dagang mensasarkan manfaat lebih 300,000 peniaga mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan peruntukkan RM200 juta.
“Selain itu, Program Digitalisasi dan Tranformasi Sektor Pertanian atau Digital AgTech dengan usaha sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan melatih 250 usahawan tani khususnya dari luar bandar.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan hasil perniagaan dan penjualan secara dalam talian untuk menjana pendapatan lebih lumayan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.