KUALA LUMPUR | Jabatan Penerangan BERSATU Malaysia telah mengadakan Taklimat Isu-Isu Semasa melalui sidang video yang diketuai oleh Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Taklimat berkenaan diadakan selama dua hari berturut-turut bermula dengan Terengganu kemudian negeri Kelantan.
Setiausaha Biro Penerangan BERSATU, Datuk Hishamuddin Abdul Karim bertindak sebagai penyelaras sidang video yang berlangsung selama lebih dua jam.
Pelbagai isu semasa disentuh termasuk keahlian, pakej rangsangan diperkenalkan oleh kerajaan, vaksin, kerjasama antara parti-parti politk serta masa depan BERSATU.
Sesi taklimat yang diadakan itu melibatkan Ketua-ketua Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Penerangan Srikandi dan Ketua Penerangan Armada.
Selain taklimat dan penerangan daripada Wan Saiful, peserta turut melontarkan pelbagai persoalan melibatkan parti BERSATU selain kerjasama dengan parti-parti politik di dalam Perikatan Nasional (PN).
Taklimat Isu-isu Semasa itu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain dan dijangka dalam masa terdekat.
Lebih 110 peserta menyertai sidang video itu bagi negeri Terengganu dan Kelantan.
Melalui taklimat berkenaan, peserta mendapat penjelasan yang tepat setiap isu semasa dibincangkan selain penjelasan mengenai peranan serta tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Ketua-ketua Penerangan di peringkat Bahagian dan Sayap BERSATU.