By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Seorang warga emas berusia 120 tahun menjadi individu tertua di negeri ini melengkapkan suntikan vaksin Covid 19 secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.
Siti Liah Mamat dari Kampung Dusun Raja di sini, yang menaiki kenderaan dipandu cucunya, Azhar Mustapha,46, tiba di HUSM kira-kira 11 pagi untuk menerima suntikan dos keduanya.
Pada 9 Jun lalu, Siti Liah menerima suntikan vaksin dos pertama secara melalui kaunter di SPPV tetapi hari ini warga emas itu diberi peluang mendapatkan suntikan dos kedua secara pandu lalu.
Dia yang mengakui lega selepas menerima suntikan itu berharap ianya memberi semangat kepada anak cucunya mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin Covid 19.
“Alhamdulillah sudah selesai cocok (suntik) vaksin dan tidak rasa sakit apa-apa.
“Kita beri semangat untuk anak cucu supaya semua cocok vaksin,” karanya ketika ditanya mengenai perasaannya selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Covid 19 hari ini.
Cucu kepada Siti Liah, Azhar Mustapha berterima kasih kepada pihak HUSM dan mereka yang terbabit dalam proses pemberian suntikan vaksin Covid 19.
Beliau berkata, neneknya tidak sabar untuk menyelesaikan suntikan vaksin dos kedua serta nampak lebih sihat dan gembira apabila datang ke HUSM hari ini.
“Syukur semua sudah selesai untuk nenek saya bagi proses pemberian vaksin dos kedua hari ini,” katanya.
Pengarah HUSM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim turut menyaksikan proses pemberian vaksin dos kedua kepada Siti Liah.
Menurut Ahmad Sukari, penggunaan kaedah secara pandu lalu bagi penerima vaksin dos kedua adalah mudah dan lebih lancar kerana mereka sudah ada pengalaman ketika suntikan dos pertama.
Beliau berkata, mereka yang berusia seperti warga emas ini biasanya lebih teruja dan yakin untuk menerima suntikan vaksin.
“Hari kni, seramai 84 penerima suntikan dos kedua vaksin secara pandu lalu termasuk warga emas ini.
“Saya berpuas hati dengan proses pemberian vaksin secara pandu lalu dan perkara itu turut diakui pasukan petugas yang mengendalikan kaedah berkenaan, ” katanya.