KUALA LUMPUR | Menyorok dalam ruٍang timbunan besi dan cuba melarikan diri, itu antara tindakan nekad yang dilakukan warga asing untuk mengelak diberkas Jabatan Imigresen (JIM) dalam Ops Patuh hari ini.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun, semua cubaan dilakukan berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.
Menurutnya, pada operasi hari ini JIM telah menyerbu sebuah Kilang pelupusan besi di Meru, Klang, Selangor dan berjaya menahan seramai 229 orang warga asing yang sedang bekerja di kilang tersebut.
“Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang timbunan besi. Walau bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya digagalkan oleh pegawai operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi dijalankan pada jam 11 pagi tadi membabitkan kekuatan 90 pegawai imigresen dengan dibantu oleh seramai 35 orang pegawai penguatkuasa dari PDRM, JTK, APM dan JPN.
Katanya, operasi ini merupakan salah satu siri Op Patuh yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa agensi lain yang berkaitan.
“Selain dari pemeriksaan pematuhan SOP PKP, JIM turut memeriksa semua pekerja asing yang didapati bekerja di kilang ini.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati bukan sahaja kilang ini melanggar dan tidak patuh SOP PKP, malahan kilang ini juga turut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa,” katanya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan 229 lelaki warga asing yang terdiri daripada 99 India, 88 orang Bangladesh, 33 Pakistan, Lima Myanmar, tiga Indonesia dan seorang Nepal serta kesemua tahanan berumur antara 22 tahun hingga 45 tahun.
Kataya, antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.
“Selain pemeriksaan ke atas dokumen dan Pas pekerja asing, aspek pematuhan SOP PKP lain turut diperiksa oleh agensi lain yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.
Katanya, kilang tersebut turut di kenakan tindakan kompaun oleh PDRM sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP PKP dan oleh JTK sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi SOP PKP bagi pengurusan tempat kerja.
“Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya,