KOTA BHARU | Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sama seperti yang dilakukan institusi kewangan lain.
Presidennya, Adnan Mat, berkata alasan penjawat awam dan pesara kerajaan tetap menerima gaji penuh serta pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk bayaran balik pinjaman perumahan LPPSA tidak lagi relevan digunakan agensi milik kerajaan itu bagi menolak memberikan moratorium.
Katanya, ini kerana, tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain merupakan suri rumah sepenuh masa.
Menurutnya, kebanyakan penjawat awam yang memohon pinjaman LPPSA adalah dengan mengemukakan pendapatan bersama mereka dengan pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan
“Namun, ada dalam kalangan mereka yang telah kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan daripada tahun lalu.
“Sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, LPPSA tidak wajar menolak pemberian moratorium dengan menggunakan alasan gaji penjawat awam dan pencen pesara kerajaan masih lagi dibayar penuh sedangkan agensi kerajaan yang lain seperti MARA, PTPTN, JPA dan PTPK turut melaksanakan moratorium.
Malah, katanya, CIMB Bank yang merupakan bank swasta juga memberikan moratorium kepada pekerja mereka yang bergaji di bawah RM4,000 walaupun gaji mereka masih dibayar seperti biasa.
“Justeru, CUEPACS sekali lagi menggesa kerajaan dan LPPSA mempertimbangkan secara serius terhadap keperluan menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman perumahan untuk penjawat awam sama seperti bank-bank swasta yang tidak dikawal oleh kerajaan secara langsung.
“Selain membolehkan penjawat awam yang terjejas merancang kembali kewangan mereka, lebihan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu ahli keluarga, saudara mara dan masyarakat yang terjejas dengan pandemik Covid-19,” katanya.