KOTA BHARU | Kerana hampir terputus bekalan makanan, pasangan suami isteri mengambil keputusan menggantung baju putih di hadapan rumah sejak semalam.
Suri rumah, Nora Maslina Nazir, 45, berkata, dia dan suami, Shuhaimi Idris, 51, mengambil keputusan menggantung baju putih di hadapan rumah mereka di Kampung Pasir Tumboh di sini, demi lapan anak berusia antara dua hingga 16 tahun.
Katanya, dia juga menjaga tiga anak saudaranya yang juga anak yatim piatu berusia antara 16 hingga 21 tahun.
“Rumah kami hampir terputus bekalan makanan dan hanya mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja lagi.
“Sebelum itu, rakan mencadangkan supaya saya menggantung bendera putih kerana dia tahu kesusahan kehidupan kami selepas suami tidak dapat bekerja lebih dua bulan lalu.
“Saya berbincang dengan suami untuk berbuat demikian, namun di rumah kami tiada bendera putih dan hanya ada baju putih. Kami menaikkan baju putih itu jam 3 petang semalam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Tindakan Nora Maslina meletakkan baju putih di hadapan rumahnya tular di media sosial Facebook dan aplikasi whatsApp dan mendapat simpati ramai.
Menurutnya, baju putih dinaikkan untuk meminta bantuan daripada orang sekeliling dan dia bersyukur kerana ramai yang tampil membantu termasuk memberi bekalan makanan keperluan harian dan wang tunai.
Katanya, ekoran tiada wang, dia sekeluarga makan nasi bersama telur sejak dua bulan lalu.
“Saya mengetepikan perasaan malu demi anak-anak yang masih kecil. Saya bersyukur kerana ramai yang tampil membantu,” katanya.