By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Hampir 75 pengamal media di negeri ini melengkapkan suntikan vaksin Covid 19 termasuk seramai 32 orang petugas berkenaan yang menerima dos kedua mereka di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Wartawan dan jurugambar yang mewakili pelbagai agensi media yang menjadi ahli kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) antaranya akhbar Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times (NST), Sinar Harian, Utusan Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Harakah, China Press dan Sin Chew Jit Poh.
Pengamal media berkenaan hadir 10 pagi menerima vaksin Covid 19 bagi dos kali kedua selepas mereka menerima suntikan kali pertama pada 10 Jun lalu.
Manakala baki selebihnya ada yang menerima suntikan lebih awal di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitat negeri ini.
Presiden KEMUDI, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, beliau berterima kepada kerajaan kerana menyenaraikan pengamal media sebagai golongan barisan hadapan yang memerlukan pemberian suntikan vaksin Covid 19 lebih awal.
Menurutnya, suntikan vaksin kepada petugas media memandangkan kerjaya mereka menuntut keperluan bertugas di barisan hadapan dan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Seramai 75 nama petugas media mengikut agensi media di negeri ini yang menjadi ahli di bawah KEMUDI disenaraikan bagi menerima suntikan vaksin Covid 19.
“Alhamdulillah hampir keseluruhan petugas media di Kelantan sudah selesai termasuk 32 daripada 75 mereka itu melengkapkan dos kedua hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hati ini.
Beliau berkata, petugas media di negeri ini akan lebih bersemangat dan yakin untuk menjalankan tugas bertemu dengan pelbagai lapisan.
Sehubungan itu beliau berharap semua warga media terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dengan memakai pelitup muka selain memastikan penjarakan fizikal serta menggunakan cecair sanitasi.
Katanya, KEMUDI mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri di atas program pemberian suntikan vaksin kepada warga media di negeri ini.
Sementara itu, Hazira Ahmad Zaidi, 32, dari akhbar Harian Metro meluahkan rasa lega dapat melengkapkan suntikan vaksin bagi dos kedua hari ini.
Katanya, sebagai pengamal media yang mungkin terdedah dengan Covid 19, memerlukan suntikan vaksin seperti barisan hadapan lainnya kerana kerjaya mereka memerlukan pergerakan dan bertemu kelompok masyarakat.
Bagi Rohana Mohd Nawi,55, dari akhbar Utusan Malaysia berkata, tidak sakit apabila menerima suntikan vaksin Covid 19.
“Sebagai pengamal media, suntikan vaksin penting untuk mereka dalam menjalankan tugas dengan lebih yakin kerana kerjaya sebagai wartawan memerlukan mereka bertemu ramai orang,” katanya.