KUALA LUMPUR | Hotel Istana Kuala Lumpur akan menamatkan perkhidmatan pada 1 September depan selepas 30 tahun beroperasi.
Pengurus besarnya, Noorazzudin Omar dalam notis penutupan kepada pekerja bertarikh 20 Jun berkata skim pemisahan sukarela ditawarkan kepada pekerja yang terjejas.
Katanya, keputusan memberhentikan operasi itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa dan mempertimbangkan segala pilihan.
“Tidak banyak pilihan yang tinggal selain meneruskan penutupan itu,” kata Noorazzudin.
Noorazzudin berkata daya saing hotel itu merosot susulan persaingan hotel dan pangsapuri servis berdekatan.
Katanya, ia diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang menjejaskan banyak hotel, kecuali yang menawarkan kemudahan kuarantin.
Hotel Istana Kuala Lumpur dimiliki oleh Tradewinds Corp Berhad, antara pemilik dan pengendali hotel terbesar di Malaysia.
Tradewinds Corp memiliki tujuh hotel dan resort, antaranya Hilton Petaling Jaya, Hilton Kuching dan Mutiara Johor Baru.
Mutiara Johor Baru menamatkan menamatkan operasi pada Mei lalu.