KUALA LUMPUR | Keputusan berhubung pemberian vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada individu berusia 12 tahun ke atas, akan diumumkan, esok.
Memetik Berita Harian, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ia akan dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Semalam, kita telah membuat keputusan bersama Menteri Kesihatan bagi individu berusia 12 tahun ke atas.
“Ia akan dimaklumkan dalam kenyataan bersama kerana ada beberapa isu teknikal sedang dikemas kini.”Mengenai selang masa pemberian vaksin Comirnaty pula, ia masih kekal tiga minggu, manakala bagi AstraZeneca, saya akan umumkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang nanti.
“Saya mahu tengok ketibaan vaksin AstraZeneca dulu, baru yakin untuk membuat pengumuman. Selagi ia (vaksin AstraZeneca) tidak sampai, saya tangguh dulu kenyataan,” katanya pada sidang media, hari ini.Semalam, kerajaan dilapor sedang mempertimbangkan semula keputusan sama ada membenarkan golongan remaja menerima vaksin COVID-19 Comirnaty.
Ia susulan risiko keradangan pada jantung, iaitu miokarditis dan perikarditis, seperti yang dilaporkan di Amerika Syarikat, United Kingdom serta Singapura.