PUTRAJAYA | Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan penglibatan dan tawaran iklan terhadap pembiayaan peribadi ‘Lestari Pinjaman Peribadi KPKT’ kepada orang awam.
KPKT dalam satu kenyataan media berkata,, pihaknya memandang serius terhadap mana-mana pihak atau syarikat yang memberi -pinjam wang berlesen yang menyalah gunakan logo KPKT (Jata Negara), logo kredit komuniti dan lesen pemberi pinjam wang untuk tujuan penipuan (scammer).
“KPKT telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung tawaran pembiayaan peribadi yang diiklankan di laman Facebook iaitu Lestari Pinjaman Peribadi KPKT.
Hasil semakan di laman facebook tersebut, KPKT mendapati laman tersebut telah diwujudkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menyalahgunakan Logo Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Jata Negara) dan logo syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didaftarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400),” katanya.
Sehubungan itu katanya, siasatan lanjut terhadap perkara itu akan dilakukan oleh Kementerian dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM untuk penelitian dan tindakan selanjutnya.
Katanya, aduan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimodla Malaysla (SKMM) berhubung perkara tersebut.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pinjaman yang diiklankan.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung iklan yang dipaparkan, orang awam dinasihatkan untuk terus menghubungi Bahagian kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT di talian 03-8891 4690/4668/4658/4708 atau mengemukakan aduan saluran https://aduan.kpkt.gov.my atau melalui aplikasi mobil i-KrediKom.