PASIR PUTEH | Seorang penyelam ditemukan lemas di Tokong Laut, Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, hari ini.
Mangsa, Mohamad Abbass Shabki, 22, ditemui oleh penduduk pulau lebih kurang jam 2.40 petang.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mangsa dibawa ke jeti Pulau Perhentian Besar.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan oleh KILAT 28 dan tiba jam 4 petang untuk diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk tindakan lanjut.
“Seramai 24 pegawai dan anggota daripada Maritim Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia dan orang awam terlibat dalam CARILAMAT pada hari ini.

“Malaysia Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menamatkan SAR pada jam 4.30 petang. MRSC Kuantan dan Maritim Negeri Kelantan mengucapkan terima kasih atas penglibatan agensi kerajaan dan orang awam sepanjang SAR berlangsung.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara bagi memerangi pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang awam sentiasa memastikan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut. Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengn Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MRSC Kuantan di talian 09-5717345.