PUTRAJAYA | Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) akan melaksanakan Op Patuh secara besar-besaran di seluruh negara esok.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Op Patuh besar-besaran ini akan membabitkan strategi yang lebih drastik melalui pemeriksaan yang lebih ketat.
Katanya, pemantauan juga lebih menyeluruh dengan penggunaan aset-aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak (mobile roadblock) milik agensi- agensi penguatkuasaan yang terlibat antaranya seperti PDRM, APMM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Di peringkat lapangan, Op Patuh besar-besaran ini akan dikoordinasikan dan diketuai oleh Ketua-Ketua Polis Daerah di seluruh negara sebagai “Ground Commander” bersama semua anggota penguatkuasa dari jabatan atau agensi yang lain.
“Sehubungan itu, mesyuarat JKPS telah menetapkan beberapa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua Ketua Polis Daerah yang terlibat bagi memantau keberkesanan dan kelancaran Op Patuh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamzah berkata, penyelarasan ini adalah penting bagi memastikan koordinasi yang lebih baik diperingkat setiap agensi penguatkuasaan dan bagi mengelakkan pemeriksaan bertindih terhadap premis oleh agensi yang berlainan pada hari yang sama.
“Mesyuarat JKPS juga dimaklumkan bahawa bermula 25 Jun sehingga 30 Jun, dalam tempoh 5 hari, hampir 126,207 premis seperti kilang, asrama penempatan pekerja dan premis perniagaan telah diperiksa melalui Op Patuh yang diketuai oleh PDRM.
“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 602 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang dan premis, manakala 60 premis telah diarahkan tutup atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi SOP serta arahan PKP,” katanya.
Beliau berkata, JKPS juga telah memutuskan untuk memberikan lebih tumpuan penguatkuasaan kepada negeri-negeri yang mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Bagi mengetatkan kawalan pergerakan di negeri-negeri tersebut, mesyuarat JKPS telah menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan COVID-19 hasil kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Pelaksanaan Op Patuh juga akan mengambil kira maklumat pemetaan tersebut dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP serta arahan kerajaan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan akta-akta sedia ada yang lain,” katanya.