PUTRAJAYA | Tarikh akhir pendaftaran Program Jaringan Prihatin dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
“Selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa 1 dan juga tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), tarikh akhir pendaftaran dan penebusan untuk Program Jaringan Prihatin dilanjutkan selama sebualn.
“Tempoh pelaksanaan program juga akan dipanjangkan sehingga 31 Ogos 2022. Perlanjutan ini akan membolehkan pemohon BPR yang baru diluluskan untuk berdaftar dengan Program Jaringan Prihatin, dan permohonan ini boleh dibuat secara dalam talian atau menerusi aplikasi syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, sehingga 22 Jun, pendaftaran bagi program tersebut telah mencecah 2.8 juta.
Katanya, lebih 500,000 penerima telah menerima peranti mudah alih baharu.
“Secara keseluruhan, hampir RM180 juta telah disalurkan kepada golongan B40 melalui program Jaringan Prihatin untuk mengurangkan kos mendapatkan akses internet dan membantu melancarkan PdPR bagi isi rumah yang mempunyai anak bersekolah,” katanya.
Beliau berkata, Program Jaringan Prihatin adalah sebuah inisiatif di bawah belanjawan 2021 dan ditambah baik dibawah pakej PEMERKASA.
Katanya, menerusi pakej ini, semua penerima BPR layak mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih melalui 12 syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian.
Menurutnya, Program bernilai RM3.5 bilion ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Mei 2021.