KUALA LUMPUR | Semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan akan membuka perkhidmatan kaunter mulai hari ini dengan beberapa ketetapan.
Ia selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, kelmarin.
Kementerian itu menerusi kenyataan berkata, urusan yang dibenar adalah membabitkan urus niaga yang tidak dapat dilakukan secara dalam talian.
“Semua urusan secara temu janji dan ‘walk in’ tidak dibenarkan serta kiosk beroperasi seperti biasa. Kapasiti petugas di kaunter juga tidak melebihi 50 peratus.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), membuka semua perkhidmatan kaunter untuk transaksi berkaitan kenderaan komersial dan persendirian, kecuali perkhidmatan yang boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal awam mySIKAP atau rakan strategik JPJ,” katanya.
Katanya, terdapat 38 transaksi dalam talian portal awam mySIKAP, namun 11 transaksi berikut memerlukan pendaftaran melalui pengesahan biometrik (sekali daftar) bagi meneruskan transaksi dengan mySIKAP.
Orang ramai digalakkan merujuk Facebook rasmi JPJ @jabatanpengangkutanjalanmalaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut serta senarai Cawangan JPJ bagi membuat janji temu.
Untuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), semua permohonan boleh dibuat melalui janji temu ini kecuali urusan kad pemandu dan janji temu boleh dilakukan melalui portal APAD iaitu https://www.apad.gov.my/temujanji/index.html dengan akses bermula 4 petang.
“Bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS), permohonan boleh dibuat secara terus melalui e-mel ke lps@apad.gov.my
“Dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), pengusaha dan syarikat tidak terikat dengan keperluan untuk mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh 90 hari sebelum tamat tempoh lesen,” katanya.