KUALA LUMPUR | Hanya seorang wakil isi rumah yang dibenarkan membeli barang keperluan asas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor, bermula Sabtu ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pelaksanaan PKPD itu, pergerakan dalam radius 10 kilometer (km) dari kediaman.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan yang terlibat.
“Jawatankuasa penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan-kawasan yang terlibat.
“Oleh itu, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.
“Lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa. Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu.
Katanya, tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8 malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) sahaja dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan,” katanya.
Menurutnya, SOP penuh bagi PKPD di kawasan itu boleh dirujuk di laman sesawang MKN di https://www.mkn.gov.my.