KUALA TERENGGANU | Terengganu membenarkan solat Jumaat di masjid dan solat sunat Aidiladha di masjid serta surau dengan bilangan jemaah 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa.
Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas mendapat pandangan Datuk Mufti Terengganu dan Pengarah Kesihatan Negeri.
“Walaupun kebenaran solat Jumaat dan Aidiladha, kehadiran jemaah bagi menunaikan solat sunat hanya dibenarkan kepada jemaah lelaki sahaja.
“Bagi solat fardhu berjemaah di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan seramai 12 orang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kehadiran jemaah ke masjid dan surau hanya dibenarkan kepada ahli qaryah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
Katanya, aktiviti-aktiviti lain di masjid dan surau adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada MAIDAM.
“Pelaksanaan ibadah Korban dan akikah boleh dilakukan sama ada di Rumah Penyembelihan (Abbattoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Terengganu serta Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh DVS selain perkarangan masjid atau surau dan di kawasan lapang seperti padang dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
“Jumlah haiwan korban dihadkan kepada lima ekor haiwan sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan. Jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 10 orang, hendaklah berada dalam keadaan sihat.
Osman berkata, ibadah korban boleh membuat permohonan dengan mengisi borang yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Selain itu, katanya lagi, mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah seksyen 18 (1)d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) TIDAK DIBENARKAN melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.
“Bagi kawasan yang dikenakan Perintah KawalanPergerakan Diperketatkan (PKPD), solat Jumaat, solat sunat hari raya Aidiladha dan pelaksanaan ibadat korban adalah tidak dibenarkan.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa.
“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu akan mengeluarkan Garis Panduan dan SOP Pelaksanaan lbadah Korban yang lengkap untuk dijadikan rujukan kepada semua pihak yang akan melaksanakan ibadah korban,” katanya.