CYBERJAYA | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan pemeriksaan di kawasan capaian internet lemah di Kampung Bahagia, Mambong dan Sungai Rimau, Kuala Krai, Kelantan.
Dalam satu kenyataan MCMC berkata, hasil pemeriksaan tersebut, pihaknya telah memasukkan pembinaan menara baharu di ketiga kampung tersebut dibawah pelan jalinan digital negara (JENDELA).
“Satu pertemuan antara pihak MCMC Negeri Kelantan, Ahli Dewan Undangan Guchil, Hilmi Abdullah, Ketua Kampung Bahagia Mohamad Zain bin Abdul Majid, seorang pelajar, Mimi Aina Syahira Muhamad dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis serta U Mobile telah pun diadakan semalam.
Tujuan pertemuan itu bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat dan menjelaskan perancangan MCMC,” katanya.
MCMC berkata, tiga buah menara baharu akan dibina di ketiga-tiga kampung itu di bawah pelan JENDELA Fasa 1 dan dijangka siap pembinaannya pada bulan April 2022.
“Apabila kerja-kerja pembinaan menara baharu itu siap nanti, ia dijangka membantu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi selain memberi manfaat kepada 1,800 orang penduduk di ketiga-tiga kampung tadi termasuk juga pelajar-pelajar,” katanya.
Terdahulu, Journal Malaysia melaporkan seramai 400 pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi dari lima kampung di Mukim Mambong di sini, terpaksa ke puncak bukit Bahagia untuk mendapatkan capaian internet.
Kawasan puncak bukit Bahagia itu adalah satu-satunya lokasi yang mampu mengakses dan memberikan capaian internet yang tinggi dan laju bagi pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdPR) atau pengajian secara online.