KOTA BHARU | Seorang usahawan memberi sumbangan 70 bungkus makanan tengah hari kepada petugas media di Kelantan hari ini.
Makanan berkenaan diagihkan kepada media sebagai menghargai jasa petugas media yang memberi maklumat berita kepada masyarakat.
Usahawan berkenaan, Azhar Mustapha, 46, berkata, sumbangan nasi kerabu itu diberikan sebagai tanda kesyukuran apabila neneknya, Siti Liah Mamat, 120, selesai cucuk vaksin bagi dos kedua, semalam.
“Saya bersyukur kerana nenek yang berusia 120 tahun telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 semalam.
“Alhamdulillah, nenek masih sihat walaupun usianya sudah lanjut.
Saya minta semua doakan supaya nenek saya sihat dan panjang umur,” katanya ketika ditemui di pejabat NSTP di sini, hari ini.
Siti Liah yang dipercayai wanita yang tertua di negara ini menerima suntikan vaksin dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semalam.
Wanita warga emas itu dibawa oleh cucunya ke SPPV di HUSM.