KUALA LUMPUR | Sebanyak 726 premis termasuk perniagaan, kilang dan asrama pekerja dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh tujuh hari bermula 25 Jun hingga semalam.
Dalam tempoh itu juga sebanyak 75 premis diarahkan tutup.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 132,633 premis perniagaan, kilang dan asrama pekerja diperiksa menerusi operasi pematuhan.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan 2,719 pemeriksaan ke atas kilang, 15,981 premis perniagaan serta 94 asrama penempatan pekerja, semalam.
“Daripada jumlah itu, lima kilang dan 10 premis diarah tutup kerana melanggar arahan kerajaan dan SOP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.