KUALA LUMPUR | Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hanya meluluskan 17 peratus permohonan kebenaran beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 hingga 30 Jun.
CIDB dalam satu kenyataan berkata, daripada 105,368 permohonan kebenaran beroperasi, sebanyak 18,661 telah diproses melalui sistem CIMS MITI.
Katanya, sepanjang Jun lalu, daripada jumlah permohonan yang diterima, 82,665 merupakan permohonan baharu.
“25,761 lagi adalah permohonan rayuan. 97 peratus (105,368) daripada semua permohonan (80,383 permohonan baharu dan 24,985 permohonan rayuan) telah diproses.
“Daripada jumlah yang telah diproses, 68,905 (86%) daripada permohonan baharu, tidak diluluskan, sementara hanya 11,478 (14%) permohonan diluluskan.
Menurut kenyataan itu lagi, dari 24,985 jumlah rayuan yang telah diproses pula, 17,802 (71%) daripada permohonan rayuan tidak diluluskan, sementara hanya 7,183 (29%) sahaja yang diluluskan.
Katanya, antara sebab banyak permohonan tidak diluluskan adalah projek yang dilaksanakan tidak termasuk di dalam senarai projek pembinaan kritikal di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pembinaan PKP 3.0 yang telah diwartakan.
“Projek pembinaan tidak diisytiharkan kepada CIDB di CIMS CIDB, nama projek pembinaan yang terlibat tidak dinyatakan di dalam CIMS MITI, di dalam ruangan Produk/Aktiviti Perniagaan.
“Ralat ketika membuat permohonan dengan tidak menyatakan alamat tapak pembinaan, kekeliruan semasa mengisi permohonan CIMS MITI, kontraktor masih dibawah tindakan tatatertib dibawah Akta 520,”katanya.
Menurutnya, CIDB juga mendapati terdapat segelintir kontraktor yang menjalankan kerja pembinaan tanpa berdaftar dengan pihak CIDB.