PUTRAJAYA | Kerajaan mengumumkan tambahan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media berkata, program bantuan Bakul Makanan sedia ada akan diteruskan dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.
“Peruntukan ini bagi memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara.
“Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua ahli Parlimen bermula hari ini (semalam).
“Bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan ini akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan,” katanya.
Pada Rabu lalu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pakej PEMULIH.
bantuan itu bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.