KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan ibadah korban dilaksanakan di negeri ini, mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Yang di-Pertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengadakan Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) semalam.
Katanya, mesyuarat tersebut turut dihadiri Mufti Kelantan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Kerajaan Tempatan SUK, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan dan Polis Diraja Malaysia.
“Ibadah korban boleh diadakan di rumah sembelih ruminan jabatan (Kompleks Abatoir Jabatan Perkhidmatan Veterinar) di tiga buah jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.
“Selain itu ia boleh dilakukan di Masjid Bandar, jajahan, mukim dengan kelulusan pihak MAIK serta aktiviti korban persendirian atau keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, bilangan petugas bagi sembelihan seekor ruminan besar (lembu/kerbau) tidak melebihi 10 orang manakala ruminan kecil (kambing/bebiri) tidak melebihi 5 orang.
Katanya juga, majlis atau jamuan selepas ibadah korban tidak dibenarkan.
Tengku Mohamad Rizam berkata, semua pihak yang terlibat perlu mematuhi arahan serta garis panduan yang ditetapkan oleh MAIK.
“Kepatuhan semua pihak terlibat (penganjur, peserta dan petugas) dalam pelaksanaan ibadah korban insya-Allah akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak COVID-19.
“Ketegasan pengurusan menjadi faktor utama dalam keberkesanan garis panduan yang disediakan.
“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan dan pematuhan garis panduan ibadah korban ini akan dapat membantu usaha memutuskan rangkaian wabak COVID-19,” katanya.
Katanya juga, majlis atau jamuan selepas ibadah korban tidak dibenarkan dan daging diagihkan terus kepada peserta.
KENYATAAN-AKHBAR-YANG-BERHORMAT-MULIA-TENGKU-YANG-DIPERTUA-MAJLIS-AGAMA-ISLAM-DAN-ADAT-ISTIADAT-MELAYU-KELANTAN-lates