PUTRAJAYA | Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengemaskini garis panduan kepada agensi dibawahnya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Puspakom dan Jabatan Laut Malaysia terpaksa ditutup di ekoran PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.
Katanya, namun begitu, beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang berada di luar zon PKPD akan beroperasi.
“Orang ramai digalakkan merujuk laman rasmi media sosial atau laman sesawang agensi-agensi yang berkaitan untuk keterangan lebih lanjut.
“Bagi surat pengesahan pengoperasian melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) MOT masih boleh digunakan sepanjang tempoh ini. Pemohon tidak perlu memuat turun surat baharu jika memiliki surat pengesahan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Wee berkata bagi kenderaan persendirian pula hanya seorang dibenarkan untuk mendapatkan barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.
Katanya, kebenaran polis diperlukan untuk penambahan penumpang bagi tujuan yang dibenarkan.
“Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS sebagai bukti. Maksimum tiga (3) orang sahaja termasuk pemandu dibenarkan keluar untuk mendapatkan penjagaan kesihatan, perubatan atau bagi tujuan vaksinasi.
“Bagi perkhidmata teksi dan e-hailing, hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki kenderaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, untuk pengangkutan awam seperti kereta api, KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, Monorel, bas dan feri dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50%.
Katanya, lapangan terbang dan pelabuhan boleh terus beroperasi seperti biasa.
“Pengangkutan perdagangan melalui darat, udara dan laut adalah perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi semasa PKPD termasuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) atau apa-apa aktiviti yang menjadi rantaian kepada mana-mana perkhidmatan perlu.
“Perkhidmatan pelabuhan dan perusahaan yang berkaitan termasuk limbungan kapal, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemukalan komoditi, pemaliman serta pemunggahan (loading dan unloading) di pelabuhan adalah dibenarkan. Aktiviti loading dan unloading di luar kawasan pelabuhan semasa PKPD hanya dibenarkan untuk perkhidmatan perlu yang diluluskan.
“Untuk jumlah penumpang yang dibenarkan menggunakan kenderaan komersial dan logistik adalah tertakluk pada pendaftaran kenderaan masing-masing,” katanya.