KOTA BHARU | Polis Kelantan memberi tumpuan kepada perusahaan besar atau kilang yang mempunyai ramai pekerja dalam melaksanakan Op Patuh Bersepadu yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Rabu lalu.
Timbalah Ketua Polis Kelantan, Abdullah Mohammad Piah berkata, antara lokasi yang akan menjadi tumpuan adalah Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang kerana mempunyai banyak kilang.
“Operasi pematuhan ini melibatkan beberapa agensi antaranya, Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Pertahanan Awam, Rela Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kekuatan sebanyak 900 orang.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai operasi ini sebenarnya ia dijalankan serentak di peringkat Persekutuan bermula hari ini jam 8 pagi,” katanya kepada media hari ini.
Abdullah berkata, operasi itu tidak dilakukan dalam masa sehari sahaja, sebaliknya akan berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, operasi terbabit dilaksanakan mengikut Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit.
“Ianya dibuat di seluruh negeri, namun tumpuan kita adalah kilang dan perusahaan kerana mereka mempunyai pekerja yang ramai.
“Kita mahu memastikan kilang yang beroperasi ini patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dan mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Selain itu, jumlah pekerja tidak boleh melebihi 60 peratus dan mempunyai prasarana yang disediakan dengan sempurna,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pemilik kilang agar mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, dengan mematuhi SOP semua pihak dapat mengelak daripada jangkitan terus berlaku.