KUALA KRAI | Polis Kelantan merampas 227,000 kotak rokok putih bernilai lebih RM1.1 juta dalam dua lori menerusi satu serbuan, di Laloh, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Polis Abdullah Muhammad Piah, berkata dalam serbuan itu, dua pemandu ditahan sebelum seorang daripada mereka cuba menawarkan rasuah kepada seorang anggota polis untuk melepaskan diri.
Katanya, lelaki berusia 54 tahun itu menawarkan rasuah RM5,000, namun anggota polis berusia 40-an menolak tawaran itu sebelum menahan individu terbabit.
“Salah seorang pemandu lori menawarkan rasuah kepada anggota kita semasa membuat pemeriksaan untuk melepaskan diri.
“Namun anggota kita mempunyai intergriti yang kuat tidak menerima tawaran berkenaan sebaliknya terus menahan dan menangkap mereka berdua.
“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kuala Krai, di sini, hari ini.
Katanya, polis yang membuat sekatan jalan raya berhampiran balai polis, Laloh, di suni pada jam 6 pagi pada mulanya mengesan dua lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota polis dan tentera di sekatan itu menahan dua pemandu lelaki berusia 29 dan 54 tahun.
“Kedua-dia lori dibawa ke balai dan turut menemui nombor plat palsu. Selain lori, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM 7,515 turut dirampas.
“Hasil siasatan, lori yang mempunyai kebenaran pergerakan daripada Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri (MITI) membawa makanan runcit dari sekatan ke pantai timur untuk menghantar rokok berkenaan ke Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Tumpat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.