LONDON | Cristiano Ronaldo mungkin kecewa selepas Portugal terkandas di pusingan kedua Euro 2020 namun pengaruhnya di media sosial terus mencanak berdasarkan senarai pendapatan terkini Instagram.
Dia menjadi penerima pendapatan tertinggi di Instagram selepas mengharungi musim yang penuh prolifik walaupun gagal membantu Portugal mempertahankan kejuaraan Euro.
Ketika mereka gagal melepasi halangan Belgium di pusingan kedua, Ronaldo kekal sebagai salah seorang atlet paling dikenali di planet ini dan paling teratas dalam industri media sosial.
Pemain berusia 36 tahun itu berada di tangga teratas selepas senarai berkenaan dikeluarkan Hopper HQ, mengetepikan Dwayne Johnson, Ariana Grande dan Kylie Jenner.
Terima kasih kepada 302 juta pengikut yang membolehkan bintang Juventus itu memperoleh AS$1,604,000 (RM6.6 juta) untuk setiap kali perkongsian dan meningkat 54% berbanding tahun lalu.
Awal tahun ini Ronaldo menjadi manusia pertama di dunia yang melepasi 500 juta pengikut di media sosial secara keseluruhan.
“Satu jumlah yang menakjubkan. Terima kasih semua dan anda adalah sebahagian daripada perjalanan ini,” kata Ronaldo.
Ketika kematian Diego Maradona tahun lalu Ronaldo mendapat 20 juta tanda suka selepas berkongsi hantaran mengucapkan takziah di atas pemergian legenda Argentina itu.
Sebelum ini dia banyak berkongsi mengenai kariernya dan kehidupan bersama keluarganya.