PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai ini.
Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara.
“Ianya termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.
“Sehubungan dengan itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.