KUALA LUMPUR | Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Kementerian Alam Sekitar dan Air melaporkan tiada cuaca panas luar biasa dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon berkata, rakyat Malaysia tidak perlu risau kerana Malaysia tidak terjejas dengan fenomena cuaca panas yang berlaku di Kanada dan Amerika Syarikat pada masa ini.
Beliau berkata, negara kini berada pada pertengahan fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada September ini.
Katanya, dalam tempoh ini, MET Malaysia menjangkakan suhu yang lebih rendah daripada biasa pada Julai kerana cuaca lebih lembab dan hujan yang lebih banyak berbanding biasa.
“Keadaan ini disebabkan oleh peralihan daripada fasa La Nina kepada fasa Enso Neutral. Jabatan ini mengjangkakan taburan hujan normal mulai Ogos.
“Oleh itu, Jabatan tidak menjangkakan suhu luar biasa panas akan berlaku di Malaysia pada tahun ini. MET Malaysia juga tidak menjangkakan kejadian jerebu rentas sempadan yang serius dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Jailan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini menerusi laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian hotline MET Malaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut.