KUALA LUMPUR | Pemuda Perikatan Nasional (PPN) mengharapkan wakil rakyat dapat mengurus dana agihan bakul makanan dengan telus.
Ketuanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, penyampaian bakul makanan juga perlu dilakukan tanpa melalui agensi kerajaan.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan program dan mekanisme bantuan yang amat banyak, termasuk Program Bakul Makanan bernilai RM50juta menerusi Pakej PERMAI se awal Januari lalu.
Katanya, ia menjadikan jumlah terkumpul bagi program Bakul Makanan sahaja bernilai RM116.6 Juta.
“Dengan inisiatif tambahan ini, di harap wakil rakyat dapat mengurus dana ini dengan telus dan menyampaikan bakul makanan ini tanpa melalui agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rakyat juga dapat mohon segera pada wakil rakyat, selain dari agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.
“Pemuda Perikatan Nasional mengambil peduli kepada kemaslahatan rakyat yang dalam kesusahan dan terkesan sepanjang pandemik Covid19 Fasa Pemulihan,” katanya.
Dalam masa sama, PPN memuji sikap profesional dan keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila dengan tuntas dan pantas, bermula semalam menyalur peruntukan tambahan sejumlah RM66.6juta untuk RM300,000 nilai Bakul Makanan kepada setiap Ahli Parlimen tidak kira latar kecenderungan politik samada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang menerusi PEMULIH.
Dalam pada itu, PPN mengecam tindakan pihak tertentu terutama parti pembangkang yang cuba mencemar objektif gerakan Bendera Putih, dengan menanam elemen perpecahan dan kebencian pada kerajaan.
“Walhal, ia hanya adalah gerakan sukarela bagi mempermudah identifikasi dan penyampian bantuan segera bagi individu dalam komuniti setempat yang ingin menolong antara satu sama lain,” katanya.
Katanya juga, PPN di semua parlimen akan terus mengerakkan sukarewalan untuk membantu menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, samada bendera putih diangkat atau tidak.
“Kami menyeru seluruh rakyat bersatu padu, berdoa, kuatkan semangat dan yakin bahawa kita semua dapat kembali menjalani kehidupan dan norma biasa kelak melalui Pelan Pemulihan Negara,” katanya.