KUALA LUMPUR | Selepas tiga hari Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan cuba mengaut keuntungan menjual vaksin, hari ini tular di aplikasi ‘Whatsapp’ satu syarikat mengumpulkan maklum balas daripada peniaga mengenai minat untuk mengikuti program vaksinasi swasta.
Menurut pesanan tersebut, ia adalah salah satu inisiatif pihaknya dalam memastikan pengedar serta peniaga mencapai imuniti kelompok.
Turut dinyatakan dalam pesanan tersebut adalah julat harga bagi setiap dos mencecah RM200 hingga 250 yang mana kos pengurusan projek dan pengangkutan ditanggung oleh pengedar atau peniaga.
Mesej yang tular itu seolah-olah menidakkan penafian yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 30 Jun lalu.
Difahamkan, pesanan menerusi aplikasi Whatsapp itu bukan sahaja diterima pemain industri, tetapi pihak bank juga turut menerima pesanan tersebut.
Adakah ini salah satu cubaan kerajaan negeri Selangor untuk mensabotaj ekonomi negara? Kerana sehingga kini vaksin yang disediakan Kerajaan Perikatan Nasional adalah secara percuma.
Jika tidak benar, kerajaan Selangor perlu tampil sekali lagi membuat penjelasan kerana pesanan yang tular tersebut dilihat sebagai satu tindakan kerajaan negeri Selangor cuba mendapat keuntungan daripada kesusahan rakyat.
Terdahulu, kerajaan Selangor menyangkal dakwaan bahawa pihaknya cuba mengaut keuntungan apabila menjual vaksin yang diperoleh daripada pembekal kepada pemain industri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu keuntungan tidak timbul berikutan pihak industri memahami mereka bakal berdepan kerugian lebih besar apabila tidak dibenarkan beroperasi sekiranya pekerja masing-masing tidak segera divaksin.
Beliau berkata, kerajaan Selangor menerima permohonan daripada lebih 50,000 syarikat di negeri ini yang bersedia untuk menempah bekalan vaksin buat pekerja mereka.