By Ismail Muhamad
KUALA KRAI | Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, itu pepatah peribahasa yang dipegang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 peringkat Parlimen Kuala Krai, Ahmad Wajdi Azhari Che Hamid.
Anak keenam daripada sembilan beradik dari Kampung Bahagia itu menyifatkan kejayaannya mendapat 7 Mumtaz dalam STAM membuktikan kesukaran mengikuti pembelajaran secara online tanpa kemudahan internet di rumah tidak menghalangnya memperolehi pencapaian cemerlang.
Ahmad Wajdi, 19, pelajar Sekolah Maahad Rahmaniah di sini, berkata, dia terpaksa ke puncak bukit Bahagia yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya setiap kali mahu mengakses internet untuk rujukan kerja persekolahannya kerana di situ sahaja ada capaian internet berkelajuan tinggi.
“Saya akan pastikan setiap matapelajaran yang kurang difahami terus ditanya kepada guru sebaik mungkin supaya mendapat kefahaman yang jelas sewaktu mengikuti pengajian secara semuka atau PdPR.
“Saya perlu menaiki motosikal sejauh empat kilometer dari rumah dengan menggunakan jalan balak yang tidak rata dan membahayakan untuk ke puncak bukit Bahagia sekiranya ada kelas pengajaran dan pembelajaran (PdPR) atau mahu membuat rujukan kerja sekolah.
“Bayangkan jika kelas PdPR bermula jam 9 pagi, saya perlu bertolak lebih awal setengah jam untuk sampai ke puncak bukit Bahagia, satu-satunya kawasan yang ada akses capaian internet untuk mengikuti pengajian secara online,” katanya ketika ditemui di Kampung Bahagia.
Menurutnya, keputusan cemerlang yang diperolehinya cukup berbaloi dengan usahanya bersama rakan lain dari Kampung Bahagia yang berulang alik ke puncak bukit di kampung berkenaan untuk mendapatkan akses internet.
Katanya, dia bersyukur kerana kerajaan sudah meluluskan pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Bahagia kerana pelajar sepertinya tidak perlu ke puncak bukit apabila kemudahan di kampungnya itu siap dibina dan beroperasi nanti.
“Saya ingin berkongsi kejayaan mendapat 7 mumtaz dalam STAM 2020 kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan STAM supaya tabah menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu untuk mencapai kejayaan.
“Kita jangan mudah putus asa dalam mengejar cita-cita untuk berjaya walaupun ada kekangan dari segi kemudahan kerana yang penting berusaha untuk maju ke hadapan,” katanya
Katanya, dia akan menyambung pengajian dalam jurusan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).