PUTRAJAYA | Apakah perkara yang dibenarkan dilakukan sepanjang Fasa Dua Pelan Pemulihan Negera? Itu yang rakyat perlu fahami dan penting untuk dipatuhi untuk bersama-sama membendung penularan COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam Fasa 2 PPN ini, pergerakan rentas daerah dan negeri adalah masih tidak dibenarkan.
Menurutnya, pengecualian akan diberikan untuk pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.
“Pengecualian khas akan diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalan satu kenyataan hari ini.
Katanya, bagi Fasa Dua senarai positif bagi sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluaskan adalah Sektor Perdagangan dan Pengedaran.
Ini membabitkan, kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan eletrik, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).
Katanya juga, pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan beroperasi dari jam 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi dan jualan diterhadkan kepada 6 komoditi utama sahaja iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.
Walaubagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka.
Pengusaha-pengusaha sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk pasar tani dan pasar pagi adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Katanya juga, di bawah Fasa Dua kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu ataupun essential services akan dinaikkan kepada 80 peratus.
“Pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan dipatuhi setiap masa,” katanya.
Tambahnya, semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan.
“Ini termasuk aktiviti secara berindividu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skate boarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya,” katanya.
Katanya, aktiviti keagamaan bagi Fasa Dua adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.