KUALA LUMPUR | Wanita yang ditinggalkan suami dengan hutang hampir RM1 juta mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli menerusi laman Facebooknya memaklumkan, beliau
membaca emel daripada wanita yang dikenali sebagai Faizah dengan penuh teliti.
Katanya, wanita itu asalnya hidup bahagia bersama suami dan anak-anak sebelum keadaan mula berubah apabila suaminya yang juga warganegara luar, melarikan diri dengan meninggalkan hutang hampir RM1 juta.
“Wanita itu menguruskan anak-anaknya seorang diri dengan kudrat yang ada. Alhamdulillah, rahmat dan kasih sayang-Nya tetap ada.
“Tahun demi tahun berlalu dengan baik. Saya anggap beliau adalah seorang ibu yang amat cekal hatinya.
“Akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lalu, merencatkan sumber pendapatan wanita itu. Anak-anaknya yang telah bekerja juga hilang pekerjaan dan seorang lagi masih menuntut di universiti,” katanya.
Dr Zulkifli hadir semalam untuk meringankan beban dan menyelesaikan baki hutang rumah serta menawarkan modal perniagaan yang sesuai untuk wanita itu.
Beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui Baitulmal MAIWP telah memberikan kepada wanita itu Skim Bantuan Menyelesaikan Hutang, Skim Bantuan Kecemasan Skim Bantuan Am Pelajaran IPT Dalam Negeri dan Skim Bantuan Perniagaan dan Bimbingan Keusahawanan.
“MAIWP juga berbesar hati melunaskan sewa beli bulanan rumah beliau selama beberapa bulan mendatang.
“Saya doakan Puan Faizah dapat mengharungi pandemik ini dengan lebih bersemangat dan tabah bersama anak-anak tercinta,” katanya.