RIO DE JANEIRO | Jaringan Lucas Paqueta pada babak kedua sudah cukup untuk juara bertahan, Brazil menyingkirkan Chile 1-0 dan menempah pertembungan separuh akhir Copa America berdepan Peru.
Lapor AFP, Paqueta yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua memberi impak pantas apabila berjaya meletakkan Brazil di depan pada minit ke-47.
Namun, tidak sampai dua minit kemudian, Brazil terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Gabriel Jesus dilayangkan kad merah selepas tersepak muka Eugenio Mena ketika perebutan bola tinggi.
Eduardo Vargas menyangka dia berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi rembatan jarak dekat, namun video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.Pada minit ke-69, hantaran silang Mena berjaya menemui Ben Brereton, namun tandukan pemain itu melepasi palang ketika penjaga gol Brazil, Ederson sudah tersilap langkah.
Ederson sekali lagi bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan bahaya lawan pada minit ke-78 ketika Chile berjuang mati-matian untuk menyamakan kedudukan.
Menerusi kemenangan itu, Brazil mengatur ulangan final 2019 berdepan Peru yang mana mereka menang 3-1 ketika itu.