KOTA BHARU | Demi belanja mewah teman wanita, seorang remaja berusia 17 tahun sanggup berhutang ribuan ringgit daripada lima ceti haram berlainan menggunakan kad pengenalan ibunya sendiri.
Akibat daripada perbuatannya itu, ibu yang berkerja sebagai guru menerima pelbagai ugutan termasuk mahu menyebarkan salinan kad pengenalan wanita terbabit di sekolah serta mahu menyimbah cat di rumahnya selepas remaja berkenaan menghilangkan diri.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima aduan daripada ibunya yang datang bersama bekas majikan remaja terbabit pada bulan lalu.
Katanya, berdasarkan aduan, remaja yang sudah tidak bersekolah sejak Tingkatan Tiga itu pada mulanya meminjam dengan seorang ah long sebanyak RM1,000 menggunakan salinan kad pengenalan ibunya yang diambil tanpa pengetahuan, pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 Mac tahun lalu.
“Remaja terbabit sebelum itu bekerja di tempat basuh kenderaan tidak mampu membayar pinjaman berkenaan sebelum melakukan pinjaman RM1,000 lagi dengan ah long lain.
“Namun, pinjaman baharu itu hanya menggunakan sebahagian kecil saja untuk selesaikan hutang lama. Keadaan itu berterusan sehinggalah melakukan pinjaman dengan jumlah sama daripada tiga lagi ceti haram berbeza.
“Berdasarkan keterangan ibunya, remaja berkenaan membeli pelbagai barangan mewah seperti beg tangan kepada teman wanitanya. Pada mulanya remaja berkenaan tinggal bersama ibunya, namun sudah menghilangkan diri tanpa jejak sejak awal tahun ini,” katanya kepada Journal Malaysia.
Menurutnya, PPIK membantu sebaik mungkin dengan melakukan perbincangan dengan seorang daripada ah long berkenaan untuk mengurangkan kadar pinjaman RM2,500 termasuk bunga kepada RM1,500.
“Ibunya yang sudah berpisah dengan suami kini dibebani hutang ribuan ringgit di samping perlu menanggung pinjaman kenderaan dan rumah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata, satu lagi kes sama membabitkan seorang pelajar Tingkatan Empat yang turut menyalahguna kad pengenalan ibunya untuk berhutang dengan ah long demi membeli telefon pintar Iphone.
“Remaja ini pada awalnya sudah mempunyai duit simpanan sendiri namun tidak mencukupi sebelum sanggup berhutang dengan ah long berjumlah RM600, pad a awal tahun lalu.
“Namun kes ini sudah diselesaikan dengan bantuan PPIK apabila ibu remaja berkenaan sudah menyelesaikan bayaran berjumlah RM1,500 selepas dikurangkan daripada RM2,500 termasuk bunga.
“Berdasarkan kedua-dua kes ini, semua ibu bapa perlu memberi perhatian dan bimbingan sepenuhnya kepada anak mereka supaya tidak terbabit dengan pinjaman mudah ceti haram berkenaan. Mereka boleh menyalahguna kad pengenalan ibu bapa untuk berhutang memandangkan pinjaman ini sangat mudah diperoleh walaupun tidak cukup usia,” katanya.