PARIS | Itali mengalahkan Belgium 2-1 di suku akhir Euro 2020 di Munich untuk mengatur pertembungan empat terakhir dengan Sepanyol yang menyingkirkan Switzerland menerusi penentuan penalti.
Lapor Berita Harian yang memetik AFP, ledakan cemerlang Lorenzo Insigne menjadi gol kemenangan buat Azzurri yang melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam 32 perlawanan.
Skuad kendalian Roberto Mancini akan berdepan Sepanyol pada aksi separuh akhir pertama di Wembley, Rabu ini.
“Kami berhak menang. Pemain memberikan persembahan luar biasa,” kata Mancini.
“Ia jelas menunjukkan kami bergelut dalam 10 minit terakhir kerana penat. Pemain beraksi dengan baik dan kami sepatutnya boleh menjaringkan beberapa gol lagi.”
Belgium dan Itali adalah pasukan yang memenangi semua 10 perlawanan dalam kelayakan dan menjadi pasukan bersama Belanda yang memenangi setiap perlawanan di peringkat kumpulan.
Skuad Azzurri yang hanya merangkul gelaran Eropah pada tahun 1968, bermula cemerlang dan mendapat gol pertama hasil jaringan Leonardo Bonucci, namun dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Nicolo Barella bagaimanapun, meletakkan Itali di depan pada minit ke-31 apabila dia melepasi di celah dua pertahanan, sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Impian Itali melangkah ke separuh akhir semakin kukuh selepas Insigne menggegarkan gawang Belgium buat kali kedua menerusi sepakan lencong jarak jauh yang menarik sebelum rehat.
Romelu Lukaku bagaimanapun, kembali memberikan harapan buat Belgium sebelum berakhir babak pertama apabila menyudahkan sepakan penalti selepas Jeremy Doku dikasari Giovanni Di Lorenzo.
Belgium mendapat beberapa peluang pada babak kedua, namun gagal menyekat Itali untuk mara ke separuh akhir buat kali keenam.
Terdahulu, juara 2008 dan 2012, Sepanyol menewaskan Switzerland 3-1 dalam penentuan penalti selepas aksi suku akhir di Saint Petersburg berkesudahan 1-1 dengan Mikel Oyarzabal menjaringkan gol kemenangan.