SAINT PETERSBURG | Sepanyol mara ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Switzerland 3-1 dalam penentuan penalti selepas terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Lapor AFP, Switzerland mengheret perlawanan ke masa tambahan walaupun terpaksa beraksi 10 orang selepas Remo Freuler dibuang padang pada minit ke-77.
Sepanyol mendahului permainan seawal minit kelapan menerusi jaringan sendiri Denis Zakaria tetapi Xherdan Shaqiri menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Penjaga gol Switzerland Yann Sommer bertindak cemerlang menafikan deretan percubaan Sepanyol dalam masa tambahan untuk memastikan kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Swizerland seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila sepakan Fabian Schaer dan Manuel Akanji mudah diselamatkan penjaga gol Sepanyol Unai Simon.
Mikel Oyarzabal memastikan kemenangan selepas sepakan Ruben Vargas tersasar melepasi gawang Sepanyol.