KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 bulan depan, bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) sedang menyediakan garis panduan itu, yang akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan, sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita mungkin akan keluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan selepas anda sudah menerima sepenuhnya dua dos vaksin.
“Bagaimanapun, buat masa ini, dengan penularan varian Delta, kita lebih berhati-hati,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, hari ini. SUMBER: BERITA HARIAN.