KUCHING | Perikatan Nasional Sarawak menyifatkan inisiatif kemudahan pengeluaran baharu akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra cukup signifikan dalam usaha membantu rakyat yang terhimpit sekarang ini.
Itu merupakan pandangan bersama Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak, Senator Jaziri Alkaf A. Suffian, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.
Kenyataan bersama itu berkata, walaupun ada pihak membantah pengeluaran akaun KWSP ini seperti MTUC, namun ketegasan kerajaan yang berusaha menjadikan ini realiti perlu dipuji kerana ia membuktikan komitmen kerajaan yang amat fokus membantu rakyat.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keprihatinan beliau yang mendengar keluhan dan rintihan rakyat terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.
“Keprihatinan beliau ini jelas menunjukkan sikap kesungguhan dan tanggungjawab kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap keperluan rakyat yang kehilangan pekerjaan, pendapatan serta ada yang operasi perniagaan terpaksa ditutup ekoran penularan wabak COVID-19.
“Alhamdulilah, bagi kami, kerajaan telah mengambil serius pandangan daripada pelbagai pihak dalam membantu meringankan beban ekonomi rakyat dan sudah tentu pakej rangsangan yang amat komprehensif ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan pelbagai sektor ekonomi terutama di Sarawak secara amnya serta Malaysia,” katanya.
Kenyataan menyebut PN Sarawak juga melihat usaha yang disalurkan kerajaan melalu inisiatif PEMULIH mendapati semua golongan rakyat Malaysia termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir.
“Antaranya pengumuman kemudahan moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam dan pengeluaran simpanan KWSP secara bulanan adalah berita paling gembira kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia jelas membantu meringkan beban kewangan rakyat.
“Oleh itu kami sarankan kepada pemilik rumah dan perniagaan, supaya ambillah peluang tersebut jika memerlukan dan berhemahlah dalam perbelanjaan dan pengurusan kewangan supaya mereka dapat menggunakan bantuan ini untuk urusan yang benar-benar perlu sahaja dan bukan untuk perkara tidak penting,” katanya.
Katanya, selain itu inisiatif PEMULIH dilihat dapat memberi kesan signifikan dalam membantu meringan beban kewangan rakyat kerana beberapa inisiatif yang diperkenal.
“Antaranya untuk program pengukuhan pasaran buruh seperti Program Subsidi Upah 4.0, Bantuan Kehilangan Pekerjaan dan Elaun Mencari Pekerjaan adalah antara usaha kerajaan untuk membantu golongan pekerja dan majikan atau pemilik perniagaan.
“Kami juga percaya bantuan terhadap PKS ini penting kerana mereka inilah nadi dan penjana penting kepada ekonomi negara dan pastinya mereka dapat menarik nafas lega dengan beberapa pendekatan yang diambil untuk membantu PKS.
“Ini termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian,” katanya.