KUALA LUMPUR | Jentera Penerangan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) akan menjadi suara kerajaan bagi memastikan maklumat tepat berkait manfaat Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan sampai kepada rakyat.
Dalam satu kenyataan bersama Ketua-Ketua Penerangan Parti dalam PN hari ini, berkata, jentera semua parti akan memainkan peranan memastikan mesej penting mengenai pakej bantuan kerajaan akan sampai ke akar umbi.
Kenyataan menyebut, dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, Kerajaan PN mengambil sikap untuk mengenepikan perbezaan politik dan memberikan peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira sikap mereka terhadap kerajaan.
“Rakyat perlu mendapatkan maklumat mengenai pakej bantuan ini daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen masing-masing.
“Kami menyeru pemimpin di semua peringkat, agensi-agensi berkaitan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak-pihak bertanggungjawab agar sama-sama memastikan maklumat mengenai pakej rangsangan ekonomi daripada kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Menyokong dan menyambut baik Pakej PEMULIH diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kenyataan bersama itu juga menyeru seluruh lapisan rakyat segera mengambil manfaat daripada setiap insentif yang disediakan.
Katanya, antara insentif yang disediakan adalah moratorium tanpa syarat kepada semua peminjam individu.
“Tawaran ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak bank bagi meringankan bebanan rakyat yang terjejas pendapatan. Namun dinasihatkan agar peminjam tidak menambah komitmen kewangan lain jika tidak terdesak,” katanya.
Selain itu, golongan yang terjejas boleh memanfaatkan program Bantuan Bakul Makanan yang diperuntukkan kepada semua Ahli Parlimen.
“Kami akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menjayakan Pelan Pemulihan Negara dengan memperkasakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Tegas kenyataan itu juga, program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan negara melawan COVID-19.
“Kami menyeru kita semua bersama-sama dalam memerangi kesan daripada wabak COVID-19. Jika kita bekerja bersama, kita akan menang bersama. Lindung diri, lindung semua,” katanya.
Kenyataan bersama berkenaan membabitkan, Ketua Penerangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kamaruzaman Mohamad, Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai dan Ketua Penerangan,
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin.
Turut menyatakan kesepakatan dalam kenyataan itu adalah, Ketua Penerangan,Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN)
,Koo Shiaw Lee, Ketua Penerangan, Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk V Gunalan, Pengerusi Biro Penerangan,
Malaysian Chinese Association (MCA), Chan Quin Er dan Ketua Penerangan, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Khairin Bador.
Pimpinan lain adalah, Setiausaha Penganjur Kebangsaan, Parti Demokratik Progresif (PDP), Yong Li Na, Ketua Penerangan,
Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang, Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak, Datuk Wilfred Nissom dan Setiausaha Penerangan dan Publisiti,
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Adam Yii.