KOTA BHARU | Penurunan kes COVID-19 di Kelantan sejak dua minggu lalu membolehkan Kelantan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Selain itu, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 yang berada di paras 40 peratus juga memenuhi nilai ambang yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Jefny Muhammad berkata, Kelantan beralih ke fasa kedua PPN kerana memenuhi nilai ambang kerajaan.
Katanya, pengurangan kes COVID-19 di Kelantan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan sekatan pergerakan penuh (SPP).
“Ia menunjukkan kejayaan PKP 3.0 di negeri ini, namun masyarakat perlu sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) berikutan jangkitan sudah ada dalam komuniti.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya terus patuh SOP bagi menurunkan kes COVID-19.
“Jika masyarakat tidak patuh SOP kemungkinan kes COVID-19 akan naik dan Kelantan akan kembali kepada fasa pertama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pahang, Kelantan, Terengganu Perak dan Pahang setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN.