KUALA LUMPUR | Tempoh tiga bulan yang mendatang akan menjadi tempoh yang sangat sibuk dan kritikal bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia akan menerima dos vaksin dalam jumlah yang sangat besar
Katanya, sebagai perbandingan, jumlah vaksinasi yang dicatatkan sejak PICK mula dilaksanakan pada Februari lalu ialah sekitar lapan juta dos.
“Tetapi pada Julai ini sahaja, kita bakal menerima lebih daripada 12 juta dos vaksin. Sudah tentu Julai menjadi sangat genting buat PICK apabila pemberian vaksin akan ditingkatkan di seluruh negara.
“Pada Julai kita mensasarkan kadar suntikan vaksin 300,000 dos sehari Pada hujung Mei lalu, jumlah individu yang menerima suntikan vaksin bagi dos pertama adalah 5.9 peratus dari populasi negara, manakala Jun, jumlahnya meningkat kepada 18 peratus.
“Dengan kata lain jumlah penerima vaksin bagi dos pertama meningkat sebanyak 200 peratus.
“Kumpulan berisiko tinggi menjadi keutamaan untuk menerima vaksin bawah PICK. Seramai 60 peratus warga emas yang berdaftar telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Harap proses vaksinasi untuk warga emas akan selesai akhir bulan ini,” katanya menerusi rakaman video di laman Twitternya di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain itu, tidak lupa kepada golongan orang kurang upaya (OKU) apabila membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu dan khas untuk mereka.
Menurutnya, bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan mendatang dilalui dengan teratur dan lancar, kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak PPV.