PUTRAJAYA | Lima negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa Isnin ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Menurutnya, pelan itu merupakan satu panduan yang dirangka berdasarkan data dan sains, merangkumi empat fasa yang mana peralihan fasa secara berperingkat bergantung kepada nilai ambang ataupun threshold tiga indikator utama.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap minggu juga meneliti tiga nilai ambang utama ini di peringkat negeri-negeri.
“Setelah MKN membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik ini, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN mengikut pencapaian nilai ambang negeri-negeri.
“Kementerian Kewangan telah pun memperincikan nilai ambang untuk peralihan negeri-negeri dari satu fasa ke fasa berikutnya mengikut tiga indikator yang telah ditetapkan itu.
“Berdasarkan penerangan oleh Tengku Zafrul sebentar tadi, saya dengan ini mengumumkan negeri-negeri yang beralih ke Fasa 2 berkuat kuasa 5 Julai 2021 adalah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kelima-lima negeri yang terlibat.
Ismail Sabri berkata, PPN ini memberi isyarat yang jelas apa yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membawa keluar negara dari kemelut pandemik ini.
Katanya, peralihan fasa secara berperingkat bergantung kepada nilai ambang ataupun threshold tiga indikator utama iaitu pertamanya, keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.
Keduanya, kadar penggunaan katil di wad ICU dan ketiga peratusan populasi Malaysia yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.