KOTA BHARU | Mayat yang sudah reput dipercayai seorang lelaki ditemukan di dalam kebun buah-buahan di Kampung Chekar, Wakaf Linchong, dekat Pasir Putih semalam.
Mayat berkenaan ditemui pada jam 6.30 petang oleh seorang lelaki berusia 50-an.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, ketika lelaki itu dalam perjalanan pulang, dia terhidu bau busuk sebelum menemui cebisan mayat yang sudah reput dan berkecai.
“Mayat itu dipercayai seorang lelaki berdasarkan cebisan pakaian yang ditemui di lokasi kejadian. Mengikut kepada keadaan mayat, kita jangka mangsa meninggal dunia sejak seminggu lalu.
“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu keputusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, polis tidak menerima laporan daripada mana-mana individu berhubung kehilangan ahli keluarga.