JOHOR BAHRU | Sebanyak RM770,000 nilai kompaun dikeluarkan sepanjang dua hari pelaksanaan OP Patuh di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah mengambil tindakan melaksanakan Op Patuh dengan kerjasama beberapa agensi dan melakukan pemeriksaan di 120 buah premis.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 100 kilang sudah diperiksa dan baki selebihnya adalah premis perniagaan 14 buah, tiga pasar raya tiga dan tiga terminal bas.
“Jumlah kompaun yang dikeluarkan akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah sebanyak 77 kompaun. Daripada jumlah tersebut 48 dikenakan kepada perbadanan (pemilik premis) dan 29 adalah kepada pekerja atau pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sebanyak empat premis telah diarah tutup serta merta kerana kesalahan melanggar SOP utama.
Selain itu, lima kompaun dikeluarkan terhadap kilang yang melebihi kapasiti pekerja lebih 60 peratus, salah guna surat kebenaran beroperasi daripada MITI, tiga kompaun.
“Sebanyak 42 kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP asas dan 27 kompaun langgar syarat Akta Kerajaan Tempatan,” katanya.
Ayob Khan berkata, nilai keseluruhan kompaun dianggarkan sebanyak RM770,000 sepanjang operasi dijalankan.
Katanya, sebanyak 22 operasi telah dilaksanakan pada 1 hingga 2 Jun.
“Jumlah keseluruhan diatur gerak adalah seramai 503 orang terdiri daripada 322 pegawai dan anggota serta 181 daripada agensi-agensi lain.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP ini boleh terus menyalurkan maklumat kepada bilik gerakan Polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677,” katanya.