KUALA LUMPUR | Pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan bagi pasangan jarak jauh dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu tertakluk kepada kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ramai yang mahu mendengar mengenai pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh. Malah, saya sendiri ada menerima rayuan berhubung perkara ini.
“Jadi fasa dua ini, kita membenarkan rentas negeri dan daerah kepada pasangan jarak jauh tetapi hanya bagi kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan PDRM,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara maya hari ini.Ismail Sabri berkata, kes kecemasan dan keperluan khas adalah seperti isteri bersalin atau isteri yang mempunyai bayi dan memerlukan kehadiran suami.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mahkamah Jenayah dibenarkan beroperasi dalam fasa satu PPN dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perincian SOP berhubung kebenaran itu akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Kerajaan memutuskan untuk membenarkan mahkamah jenayah termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) beropasi berikutan permohonan pendaftar Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan jika kes tidak dilaksanakan, akan berlaku kesesakan dalam lokap dan penjara.
“Jadi, atas sebab itu kita membuat pertimbangan dan memberi kebenaran kerana bimbang berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam penjara atau lokap seperti yang berlaku pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu, katanya.
Katanya, kerajaan juga membenarkan firma peguam beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.’
Mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang membabitkan beberapa mukim di Selangor, Ismail Sabri berkata, kerajaan membenarkan aktiviti penanaman padi dilakukan seperti di Ijok dan Kuala Selangor.
“Ini adalah untuk kelangsungan rantaian bekalan makanan, maka kita membenarkan aktiviti penanaman padi serta rantaiannya di kawasan PKPD,” katanya. -BERITA HARIAN