PUTRAJAYA | Perkhidmatan kaunter kerajaan di kawasan yang terbabit Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditutup sepenuhnya, bermula hari ini.
Memetik Berita Harian, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata bagaimanapun perkhidmatan kesihatan, balai polis dan kaunter di pintu masuk antarabangsa yang membabitkan urusan perkastaman, imigresen serta kuarantin, masih beroperasi.
Beliau berkata, ketika ini, perkhidmatan kaunter kerajaan di seluruh negara sudah dibuka bermula Khamis lalu sebagaimana arahan yang dikeluarkan pada 29 Jun lalu.
“Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan) sudah mengumumkan pelaksanaan PKPD di mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula 3 Julai hingga 16 Julai.”Selaras dengan arahan itu, prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian Pejabat Kerajaan sepanjang tempoh PKPD bagi kawasan terbabit akan mengguna pakai arahan pengoperasian Pejabat Kerajaan yang dikeluarkan pada 30 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, arahan itu terpakai di semua kawasan yang dilaksanakan PKPD.PKPD di Selangor membabitkan 34 daripada 57 mukim di lapan daripada sembilan daerah iaitu daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, dan Hulu Selangor.
Mukim berkenaan adalah Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja (daerah Petaling); Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang, (daerah Hulu Langat); Dengkil; Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang (daerah Gombak).
Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar Jugra, Batu (Daerah Kuala Langat); Kapar, Klang (daerah Klang); Ijok, Bestari Jaya, Jeram (daerah Kuala Selangor) dan Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali (daerah Hulu Selangor).
Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flet Seksyen 2 Wangsa Maju, Flet Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flet Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flet Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinci, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.