KOTA BHARU | Seramai 100 ahli Persatuan Pengusaha Mesin Rambut Kelantan akan mengutamakan individu yang sudah disuntik lengkap dua dos vaksin Covid-19 akan diterima menjadi pelanggan di seluruh negeri ini.
Pengerusinya, Mohd Anuar Mohamad, berkata langkah itu dibuat sebagai galakkan orang ramai menerima vaksin dalam masa sama mahu melindungi pengusaha daripada menerima jangkitan apabila perniagaan itu dibuka kelak.
Katanya, peraturan itu bagi memberi kepercayaan kepada pelanggan supaya tidak bimbang untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di semua premis yang berdaftar sebagai ahli persatuan itu.
Menurutnya, buat masa ini, hanya 30 peratus ahli yang telah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin.
“Kita rayu kepada kerajaan untuk mempercepatkan suntikan vaksin kepada semua 100 ahli bagi mengurangkan jangkitan berkenaan.
“Kita juga harap kerajaan mempertibangkan kebenaran pembukaan premis gunting rambut memandangkan 30 peratus pengusaha sudah divaksin dua dos.
“Tambahan pula kita hanya mahu benarkan individu yang sudah divaksin masuk ke kedai kita,” katanya ketika ditemui selepas mensyuarat khas bersama wakil pengusah kedai gunting rambut, di sini, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, mereka meminta industri gunting rambut dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan antaranya pemakaian sarung tangan dan plastik khas menutup tubuh tukang gunting serta pelitup muka.
Katanya, dia sudah mendaftarkan kesemua ahli untuk menerima suntikan vaksin berkenaan dan masih ramai yang masih menunggu untuk divaksin kali pertama dan kedua.
Tamat